Sunday 1 April 2012

Petikan BAB 3 - Ukiran Di Dasar Laut


“K... K... Ke... Keluarlah kau kalau berani!” Ryde mencabar ‘raksasa’ yang mengganggunya. Sedang matanya melilau ke kanan dan kiri, tiba-tiba terdengar suara yang kuat menyergah dari belakang, benar-benar di telinganya. “Arrggghhhhhh!” Ryde melompat ketakutan sambil menghayun pendayungnya sekuat-kuat hati. Apa nak jadi, jadi lah!
“Kah kah kah… Ada orang dah kecut telur!” tiba-tiba Ryde terdengar satu suara sinis yang amat-amat dikenalinya. Dia mendongak ke atas dan mendengus marah, giginya diketap berulang kali, menahan amarah dan geram yang sedang membuak-buak dalam diri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja diketuk-ketuknya kepala si Ledto itu meng­gunakan pendayung di tangannya sampai lembik. Tapi apakan daya, Ledto terlalu pantas untuknya dan apa yang lebih menjengkelkan, Ryde tidak boleh terbang seperti musuhnya. Huh, Ryde mendengus lagi sambil menjeling tajam ke arah Ledto yang sedang terawang-awang di udara.
“Kenapa budak kecik? Marah ke? Kau nak pukul aku? Ha, marilah! Marilah… Marilah pukul aku kat atas ni,” ejek Ledto lagi sambil mengajuk-ajuk gaya orang hendak ber­tumbuk. Gelagatnya disambut tawa sinis Tobe dan Mboba yang telah sekian lama menjadi konco setia Ledto.
Sakitnya hati Ryde bukan kepalang namun dia sekadar mendiamkan diri kerana tahu tiada gunanya melayan karenah tiga kutu berahak yang sememangnya sering meng­ganggu hidupnya itu. Pengalaman lalu mengajarnya agar lebih bersabar. Ryde meletakkan pendayungnya ke air semula, cuba untuk meninggalkan tempat itu dengan secepat mungkin.
Ledto tidak puas hati kerana umpannya tidak bersambut lagi kali ini. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Kepak Bantut itu tidak mempedulikannya. Tak boleh jadi ni! Ledto seakan-akan hilang kuku di hadapan konco-konconya setiap kali membiarkan Ryde sekadar berlalu begitu sahaja. Argh, dia mesti melakukan sesuatu yang lebih agresif kali ini. Tanpa berlengah, Ledto meluncur laju ke bawah lalu merampas pendayung di tangan Ryde. Terhuyung-hayang budak itu dibuatnya cuba me­nyeimbangkan badan di atas rakit yang sedang bergoyang.
“Apa main kasar ni?” jerit Ryde hilang sabar.
Ledto tersenyum sinis kerana kali ini umpannya mula mengena. “Kau nak balik rumah? Kalau nak, kau dayung la guna tangan kau tu.” Semakin menjadi-jadi ketawa mereka, puas hati dapat melihat muka Ryde yang merah padam kali ini. “Kenapa? Ooo... Kau takut nanti tangan kau kena tarik dengan sotong raksasa dalam air tu?” Ledto ketawa lagi.
“Bagi balik pendayung saya tu!” pinta Ryde berang, kesabarannya benar-benar tercabar kali ini.
“Kau nak pendayung ni? Nah, ambillah sendiri!” Ledto tersenyum penuh makna lalu melayah turun dan meng­hulurkan pendayung di tangannya kepada Ryde.
Dengan hati yang membengkak, Ryde cuba mencapai pendayung itu tetapi dengan sengaja Ledto menjarakkan dirinya ke belakang. Siaplah kau aku kerjakan hari ni! Tatkala tangan Ryde dapat memegang hujung bilah pen­dayung itu, Ledto menyentaknya secara tiba-tiba sehingga menyebabkan Ryde yang pada ketika itu sedang berdiri di tubir rakit hilang keseimbangan lalu jatuh bedebur ke dalam air.


No comments:

Post a Comment