Tuesday 1 May 2012

Sisi Lain Karya Ini Dengan Laras & Bunga Bahasa Yang Tersusun Indah... Indah ke? Anda tentukan.



Masa dirasakan terhenti buat seketika… Keindahan danau yang terhampar luas di hadapan mata, memukau jiwa dan rasa Sang Pemerhati. Airnya yang tenang bergenang, jernih kebiruan, dilatari pemandangan bukit-bukau dan gunung-ganang yang berbalam-balam di kejauhan, sungguh mengasyikkan.

Suara unggas-unggas liar yang berkicauan, tingkah bertingkah berlagu riang, membangkitkan emosi gembira di hati pendengar. Sesekali anak-anak ikan mengilas ekor di permukaan, mencetus gegelung gelombang yang riaknya semakin berkembang sebelum akhirnya hilang disisih kedamaian yang begitu ampuh mendakap danau nan indah itu.

Di seberang sana, beberapa ekor haiwan berkaki empat, berekor kontot, berbadan perang, putih di dada, ada bertanduk dan ada yang tidak, sedang asyik melepaskan dahaga di gigi air (Ala, rusa sebenarnya, tapi maklumlah orang laut, tak pernah nampak rusa). Beberapa ekor anaknya dengan bintik-bintik putih di badan pula begitu asyik bermain, terlompat-lompat mengejar si rama-rama yang menari-nari antara kuntuman-kuntuman bunga rumput yang tumbuh subur dan meliar di tebing danau.

Tidak jauh dari situ, sekawan itik liar sedang berenang berpasang-pasang, memadu kasih sambil melepas lelah setelah menempuh perjalanan nan panjang.

Nah, bukan setakat rusa dan itik liar sahaja, ada landak, tupai, pelanduk, bangau, kedidi, bayan, serta banyak lagi spesies fauna lain turut menyinggah, melepas dahaga dan lelah di danau itu. Huh, ternyata tempat itu bagaikan syurga buat haiwan-haiwan ini.

Terfikir Sang Danau, dulu dia hanyalah sebuah perigi kecil yang baktinya terhad untuk si cencurut dan pipit padang melepas dahaga, namun kini segala-galanya berubah, air jasanya melimpah ruah, sedia untuk dinikmati khalayak hidupan yang jauh lebih besar dan luas.

Dalam kedamaian itu, Sang Danau tetap disapa ke bimbangan; kekayaan nikmat yang terhidang mungkin turut menarik jejak Sang Pemangsa ke tebingnya.

Di sebalik rimbunan dedaun menghijau di pinggir belukar, siapalah tahu mungkin Pak Belang ataupun Sang Musang Jebat sedang mendekam, sedia untuk menerkam.

Di bawah permukaan air yang tenang tak bergelombang, mungkin pula Sang Bedal dan Cik Sawa Batik sedang menyorok, sedia untuk menobrok.

Nun jauh tinggi di awan biru, mungkin juga Sang Rajawali dan Lang Sewah sedang berlegar-legar, sedia untuk menyambar.

Ah, mengenangkan itu semua, hati Sang Danau menjadi tidak keruan. Namun apalah dayanya untuk menghalang, bukan pintanya, perigi dulu danau sekarang!

Tiba-tiba pemandangan indah danau nikmat itu semakin kabur dan berbalam-balam. Anak rusa yang tadinya melompat-lompat, kini hanya tinggal tompok-tompok coklat yang terloncat-loncat; itik liar yang tadinya berpasang-pasang, kini hanyalah bayangan kabur yang terawang-awang – perinciannya mula pudar, warnanya bercampur aduk, segala-galanya menjadi satu sebelum akhirnya menghilang, lenyap terus daripada pandangan mata mimpi budak lelaki bernama Ryde yang telah tidak sedarkan diri berhari-hari.

No comments:

Post a Comment